Thursday 13 September 2012

"SELLING" : KEMAHIRAN YANG PERLU DIKUASAI

Tanpa disedari, kehidupan kita seharian berkait rapat dengan "selling, negotiating, discussing, presenting, influencing, anchoring, dealing, manipulating etc".  Ia merupakan satu proses yang berkait rapat dengan ilmu urusniaga yang dijalankan secara tidak langsung sedangkan  kewujudannya tidak disedari.    Kekuatan itu sebenarnya sudah wujud namun tidak diasah dengan rapi.  Sepatah kita berucap atau bercakap ia merupakan "selling".  Bila kita bertukar-tukar pendapat dengan orang lain ia bermakan kita cuba meyakinkan bahawa kita menjual idea-idea kita kepada orang lain dan di situ satu proses awalan bagi meyakinkan "pelanggan" agar menerima idea kita telah berlaku.  Apabila kita cuba meyakinkan kawan/suami/isteri/anak-anak dan sebagainya maka proses mempengaruhi (influencing) agar mereka menerima pendapat kita juga berlaku.  Bila kita cuba mengusulkan idea-idea kita berserta bukti sebagai menyokong kekuatan idea yang dibincangkan, ianya merupakan satu proses pembentangan (presentation) yang sedang dijalankan kepada "pelanggan" kita.  Ia juga merupakan satu proses pengujian kekuatan kemahiran pembentangan kita walaupun ia tidak secara resmi.  Semuanya itu merupakan satu proses "selling".  Ini bermakna kemahiran dan kekuatan "selling" memang secara semulajadi sudah ada di dalam diri kita cuma sedikit usaha harus dijalankan bagi mempelajari teknik-teknik tertentu secara teknikal bagi memperkuatkan struktur.  Begitu juga dengan asas perniagaan yang ingin dikuasai oleh kita.  Sebenarnya ia memang sudah ada, cuma perlu digilap sedikit sahaja berserta suntikan motivasi yang ada.

Satu contoh klasik yang saya cuba ingin kongsi Yang menjadi keunikan di dalam diri saya adalah saya tidak dilahirkan di dalam persekitaran orang-orang yang berniaga.  Ahli keluarga saya juga bukan ahli perniagaan apa tah lagi kedua ibubapa saya juga bukan ahli perniagaan.  Namun, sejak kecil (sekecil 10 - 12 tahun) apabila sudah menjadi kebiasaan terhempit dengan kemiskinan, faktor "survival" menjadikan perniagaan kecil-kecilan menjual kuih dan tapai dari rumah ke rumah menjadi rutin harian saya.  Terlibat secara langsung dengan proses "manufacturing" dan "production circle" menjadikan saya sedikit memahami kitaran lengkap pusingan pengeluaran dari awal proses sampai ke produk akhir (end product).  Hanya pendidikan secara tidak formal dari "CEO syarikat" (bonda tercinta), saya terdedah dengan perniagaan yang tidak formal tersebut.  Namun, aliran itu secara tidak langsung menimbulkan minat saya terhadap dunia perniagaan.  Apa tah lagi saban hari saya terlibat dengan "selling assignment" secara praktikal dari rumah ke rumah. Waktu berumur 13 - 15 tahun saya berkerja sambilan dengan seorang kenalan ayah berniaga warong makanan di pekan Pagoh Muar.  Pengelibatan secara tidak langsung berhubung dengan pelanggan juga menjadikan saya terdedah dengan perkhidmatan pelanggan.  Ketika umur saya 16 - 19 tahun saya berniaga di Pasar basah Bukit Gambir Muar secara sambilan (hujung minggu, cuti sekolah dan cuti panjang menunggu perperiksaan) bagi membantu dan menjadi rakan kongsi anak saudara berniaga ikan dan sayur.  Ia menjadikan satu proses praktikal yang agak panjang bagi memahami kerenah pelanggan dan memahami perilaku mereka.  Setelah habis STPM, berhijrah ke Kuala Lumpur kerana membantu seorang jiran sebelah rumah yang berniaga barangan perabut di Keramat di mana saya sendiri menjadi jurujual dan juga belajar membuatnya.  Akhirnya pada tahun 1990 saya diterima berkerja di Permodalan Nasional Berhad sebagai Pembantu Pengurus Projek bagi mengendalikan projek-projek berkaitan kerajaan.  Juga terlibat berurusan dengan pelanggan (kerajaan) yang terkenal dengan istilah protokol dan birokrasi.  Ketika itu juga bagi menambahkan pendapatan, saya terlibat dengan perniagaan separuh masa dengan menubuhkan syarikat enterprise bagi membekalkan barangan cenderahati ke syarikat-syarikat yang memerlukannya.  Di situ juga pengelibatan saya secara langsung berurusan dengan terma yang berkaitan dengan "selling" berlanjutan. Sehinggalah satu proposal saya untuk menubuhkan satu syarikat yang bernaung di bawah salah satu anak syarikat PNB yang telah diperbadankan ketika itu diterima oleh seorang Dato yang menjadi pemegang saham utama.  Maka proses lanjutan berkaitan dengan "selling" untuk melobi projek-projek kerajaan dan swasta masih berlanjutan.  Sehingga akhirnya  saya diberi kepercayaan untuk mengetuai satu unit di Jabatan Latihan bagi membina latihan berasaskan pembudayaan model bisnes (Business Model) untuk dijadikan pegangan dan amalan pembudayaan, teamwork sebagai pegangan terlaksana.  Di situlah bermulanya kerjaya saya sebagai seorang konsultan Latihan di mana saya sendiri merupakan jurulatih latihan dalaman (Internal Trainer).  Akhirnya pada tahun 2004 saya membuat pilihan untuk menjadi "be my own boss" sehingga kini..

Menurut Tom Hopkins seorang bekas jurujual ternama dan sekarang seorang jururunding latihan ternama di dalam bukunya yang bertajuk "How To Master The Art Of Selling" keluaran pertamanya (1982), jika kita ingin melipat kali gandakan pendapatan kita "selling" merupakan kerjaya yang tepat.  Katanya kita tidak perlukankan modal untuk kaya, modal kita adalah diri kita.  "You are your greatest asset.  Put your time, effort, and money into training, grooming and encouraging your greatest asset".  beberapa kelebihan "selling" yang boleh dikongsi:-

1. Kebebasan untuk melahirkan idea (freedoom of expression)
Kita dapat melahirkan apa yang kita suka dan kita boleh buat dengan apa yang kita nak buat.  Tidak ada pekara yang boleh menyuburkan kemakmuran ekonomi kita dan negara kita kecuali "selling"

2. Kebebasan untuk berjaya (Freedoom to become as successful as you'd like to be)
Kita boleh menyatakan berapa pendapatan yang kita mahu di dalam poket kita.  Kita boleh tentukan dengan usaha kita dan kepandaian kita untuk menjual.  Sebab itu agen-agen MLM, hartanah, insuran dan sebagainya yang berjaya sering mengaitkan kejayaan mereka dengan apa yang mereka nak capai berserta dengan usaha kerja keras dan kepandaiannya melakukan permulaan dan penutupan penjualan (beginning and closing sale) 

3. Berani menghadapi cabaran harian (Daily Challenge)
bagi mereka yang sukakan cabaran dan rasa tercabar, "selling" merupakan satu kerjaya yang tepat.  Saban hari kita akan berhadapan dengan cabaran yang berbeza.  Berjaya menghadapi cabaran tersebut bererti kita berjaya memenuhi sebahagian dari rasa kepuasan yang kita inginkan. Dan ia akan menjadikan kita lebih berani untuk menghadapi cabaran yang lain.

4. Memberi pulangan dari pelaburan yang kecil (Offer high potential return from the low capital investment)
Orang kata jika kita pandai berkata-kata, sebatang mancis kayu kita boleh jual dengan harga yang begitu tinggi sedangkan jika beli di kedai dengan harga RM1 sahaja kita boleh dapt sekotak mancis kayu.  Di mana kebenarannya? pastinya dari kata-kata dan kepintaran kita untuk menjual.  Perkataan yang tepat ialah "power of words".  Hanya bermodalkan mulut dan pengetahuan tenatang produk sahaja seseorang jurujual boleh menjadi kaya raya.

5. Menjual adalah menyeronokkan (Selling is fun)
Setiap hari kita bertemu dengan pelabagai jenis manusia dan saban hari juga terkadang kita tertawa kerana kesilapan kita menjalankan proses jualan.  Setiap hari kita mencipta plot drama kita sendiri.  Jika kita suka dengan apa yang kita suka buat... ia menyeronokkan.  jangan pandang kesukarannya sebelum mencuba.  Jika ini berlaku ia sememangnya ibarat "membunuh diri" sebelum menghadapinya.  Jika itu yang berlaku, jangan difikirkan tentang impian yang yang ditulis di mana-mana dan ia sudah pasti tidak tercapai dengan semangat mengalah kita.

6. Kepuasan (Satisfying)
Pasti kita akan merasa puas apabila kita melihat pelanggan yang lalu di depan kita atau di mana-mana sahaja yang menjinjing atau menggunakan produk kita.  Kita puas kerana itulah usaha kita.  Kita puas kerana di mana-mana sahaja orang memperkatakan tentang kebaikan produk kita dan kita boleh tidur puas kerana usaha kita berbaloi juga.

7.  Dan akhir sekali menjadi juara (Being a professional salesperson) 
Tiada apa yang lebih membahagiakan apabila berjaya menjadi seorang jurujual yang hebat.  Namun semuanya berkat kerja gigih kita.  Allah berfirman dalam surah Al-Syarh ayat 6 "Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh),maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain); Dan hanya kepada Tuhanmu sahaja lah hendaknya engkau berharap.


Allah suruh kita menyembah-Nya, kemudian berusaha, kemudian berdoa dan akhir sekali bertawakal.. ADIL kan?

Perlu diingatkan lagi sekali pesanan orang-orang yang telah berjaya di dalam perniagaan dan kejurujualan ini (Tom Hopkin) "You are your greatest asset.  Put your time, effort, and money into training, grooming and encouraging your greatest asset".  Ambil masa untuk mengasah atau mempertajamkan kekuatan yang sudah sedia ada dengan mengetahui rahsianya melalui TRAINING.

Tuesday 11 September 2012

"KEPUTUSAN YANG ANDA AMBIL HARI INI MENENTUKAN HALATUJU MASA DEPAN ANDA"

PILIHAN? Ya, di dalam kehidupan apa sahaja yang berlaku adalah pilihan yang yang telah putuskan.  Apakah kerjaya yang kita ingin ceburi, dengan siapa yang kita ingin berkahwin, di mana kita ingin tinggal, apa yang ingin kita lakukan pada hari ini, apa perancangan kita untuk hari esok dan paling penting APA YANG INGIN JADI PADA MASA HADAPAN adalah pilihan yang kita buat.  Ini sahaja kebebasan yang kita ada di dalam hidup iaitu kebebasan untuk memilih.  Bagi mengungguli kejayaan dan impian yang ingin kita capai, kita akan menjadi "hamba" kepada apa yang kita pilih.  Segala usaha kita akan kita gembling dan pusatkan ke arah pekara yang ingin kita capai dan itu yang dinamakan daya usaha pemusatan (centered efforts).

"TODAY'S DECISIONS FOR THE REST OF YOUR LIFE" (John C. Maxwell, Penulis dan juga Motivator)



Apa yang cuba ingin dikongsi di sini adalah hasil pembacaan dan pengalaman saya sebagai tenaga pengajar korporat (Corporate Trainer).  Perkongsian ilmu adalah lebih bermanafaat apabila ia dikongsi dengan orang lain agar ia dapat memberi rangsangan  atau panduan (guidance) untuk direnung, diteliti dan diamal jika ia terbukti kebenarannya.  Jika diperhatikan beberapa pembuktian di bawah ia sedikit sebanyak boleh membuat kita memahami akan kebenarannya:-



1. SIKAP KITA ADALAH PILIHAN KITA

Kebarangkalian persekitaran kita bukan pilihan kita namun cara dan sikap kita untuk berhadapan dengannya adalah pilihan kita.   



"Kita tidak boleh membiarkan persekitaran mengawal kita dan kitalah yang yang perlu mengawal persekitaran kerana kita mempunya PILIHAN"

Kita mungkin pernah mendengar alasan bagi orang yang "tidak berjaya" kepada orang yang "sudah berjaya".  Mereka mengatakan mereka yang sudah berjaya itu mempunyai "nasib yang baik" (just a luck) sedangkan mereka tidak menyedari bahwa perkataan yang mereka gunakan itu mempunyai implikasi kepada otak dengan mengatakan "tunggu, mungkin belum nasib aku lagi" atau "dah takdir aku".  Sebab itu perkataan yang kita gunakan memberi rangsangan dorongan kepada apa yang kita lakukan.  Kenapa perkataan "Tidak Berjaya" tidak boleh diganti dengan "Belum Berjaya".  Bukankah dengan mengambil kira perkataan "belum berjaya" itu akan mempengaruhi kita untuk berkerja lebih kuat lagi sehingga boleh menjadi seorang yang berjaya.  Tiada bezanya si "winner" dengan si "Loser", yang membezakan hanyalah si winner sentiasa mencari ruang dan peluang sedangkan si loser hanya menunggu ruang dan peluang.  

Kita kerap membuat ekperimen (experiment) dengan menjadi pemerhati (observer) dan bukan sebagai pelaku (doer) dan kita membiarkan rakan-rakan kita mencuba sesuatu dengan mengatakan "kau cuba dulu, esok bila kau dah berjaya aku ikut".  Sikap ini juga ayang akan menentukan antara si winner dan si loser.

2. ADALAH MUDAH UNTUK MENGEKALKAN SIKAP YANG BAIK DARIPADA UNTUK MENDAPATKAN SEMULA.
Kebanyakan permasalahan di dalam mengejar kejayaan adalah dengan adanya sikap negatif di dalam diri manusia.  Sering melihat sesuatu usaha atau kejayaan itu dipengaruhi oleh satu faktor sahaja.  kajian secara rawak terhadap peserta-peserta yang menghadiri program pembangunan usahawan yang saya jalankan, kebanyakan mereka apabila ditanya kenapa orang kita tidak boleh berniaga? atau kenapa tidak mahu berniaga?, jawapan yang "stereotype" mereka berikan iaitu tiada modal, kerajaan memberi modal terpilih hanya kepada golongan tertentu, tak mahu ambil risiko, tiada pengalaman, malas, dah terlambat, tidak berpelajaran dan sebagainya.  Ia merupakan sikap yang tidak baik dan jika ini dikekalkan ia akan menjadi satu halangan yang paling besar untuk kita keluar dari kepompong kemiskinan kita sendiri.  Adakah semua perniagaan itu perlukan satu dana yang besar? Sedangkan jika satu dana yang besar diberikan sekali pun jika tidak tahu untuk mengurus ia akan musnah begitu sahaja.  banyak jenis perniagaan kecil-kecilan yang boleh dilakukan dan jika ia diurus dengan baik hasilnya lebih hebat dari jenis perniagaan yang besar.  Sebagai contoh perniagaan trading, mengambil barang dari orang lain untuk dijual kepada orang lain.  Jika kita mempunyai kepakaran perundingan (negotiation skills), malah kita tidak perlukan modal sedikit pun. Menggunakan kelebihan orang lain dan sedikit usaha kita menggunakan ruang dan peluang akan menjadikan kita bergelar usahawan yang membawa pulangan.  Apa yang penting membawa satu contoh barangan untuk dibentangkan kepada pelanggan dan apabila pelanggan berkehendak, kita hanya mengambil pesanan dan ambil pembayaran ketika penghantaran atau sebaliknya.  Itu yang dinamakan "work smart"...

Di dalam siri catatan saya yang lepas, saya ada berkongsi "RAHSIA KEJAYAAN ORANG-ORANG CINA" di dalam perniagaan.  Kebanyakan dari mereka tidak menjadikan halangan sebagai satu sebab musabab untuk mereka tidak berjaya.  Namun sikap berani menghadapi cabaran, sentiasa positif di dalam prospek kerjaya sebagai usahawan, sentiasa berusaha, ingin meningkatkan kebanggan diri dan sebagainya membuatkan survival perniagaan mereka berhasil.  Jika sikap-sikap positif ini sudah sebati di dalam diri kita, ianya lebih mudah dan sudah pasti akan mengekalkan momentum yang baik di dalam usaha-usaha kita berbanding untuk mencari kekuatan baru. 

"Tidak ada seseorang pun yang boleh mengubah nasib kita kecuali diri kita sendiri"

3. SIKAP KITA MENENTUKAN MASA DEPAN KITA

"Apa yang ada pada kita pada hari ini adalah disebabkan sikap kita dan usaha kita kepada kejayaan di masa yang lepas dan apa yang bakal berlaku di masa depan (Sebagai muslim kena percaya semuanya ditangan Allah) juga adalah disebabkan oleh tindak tanduk kita serta sikap kita pada hari ini"

Perjalanan yang jauh bermula dengan langkah setapak dan jika kita tidak melakukan sesuatu pada hari ini bermakna esok juga kita akan melalui pekara yang sama yang ada pada hari ini.  Pembuktian kejayaan seseorang itu sebagai seorang usahawan bukan semata-mata disebabkan dari segulung ijazah.  Ia banyak diterjemahkan dari sikap seseorang itu terhadap usaha dan kerja keras dan melihat perniagaan itu sebagai sesuatu kerjaya yang meyakinkan.

NOTA PERKONGSIAN: Bagi yang telah berjaya dalam perniagaan jangan lupa:-
1. Terus berzakat perniagaan dan bersedekah kerana rezeki yang ada dan diberi oleh-Nya memang untuk dikongsi kepada mereka yang kurang berkemampuan.
2. Terus menyumbang, menyokong dan membimbing rakan usahawan yang lain dengan pelabagai cara seperti menyalurkan ruang dan peluang yang ditemui kepada rakan-rakan usahawan yang lain jika itu bukan jenis perniagaan kita.  Memberi tip-tip berguna kepada rakan usahawan tentang selok belok perniagaan.  Atau, ia boleh sahaja dijadikan rakan strategik perniagaan berdasarkan faedah "menang-menang" (WIN-WIN).
3.  Sentiasa berkomunikasi dan berhubung dengan rakan usahawan yang lain.  Hubungan yang strategik ini sudah pasti melebarkan lagi perniagaan kita di masa hadapan.

~INGAT!!!! KEPUTUSAN YANG KITA AMBIL PADA HARI INI AKAN MENENTUKAN MASA DEPAN KITA~

 

Home I About Author I Business Motivation Talks I Articals I Photos & Activities I Other Links I Contact
 

Monday 10 September 2012

6 PRINSIP YANG MEMBUATKAN SESEORANG SUKA PADA ANDA

Lakukan ini pasti anda akan disukai di mana-mana sahaja:-

Satu kelebihan orang yang suka membaca ialah mereka akan mendapat ilmu yang cukup banyak dari rahsia kejayaan yang dikongsi oleh penulis buku dan KELEBIHAN orang yang menyampaikan ilmu dan berkongsi dengan apa yang mereka baca pula adalah kerja-kerja amal jariah serta jihad ilmu bagi memastikan orang lain cemerlang dan HEBAT jika ilmu yang dikongsi itu diamalkan sebaik-baiknya.  Perilaku kebiasaan ini (Habit) dipanggil "Sharpen The Saw" oleh pakar motivasi terkenal dunia iaitu Stephen R.Covey di dalam bukunya yang berjodol "The 7 Habits Of Highly Effective People".

Dale Carnegie salah seorang motivator yang terpengaruh dunia mengariskan 6 PRINSIP bagaimana kita boleh melebarkan rangkaian sahabat atau pelanggan (bergantung kepada siapa kita ingin aplikasikan ilmu ini) agar berasa senang kepada kita.  Saya pasti dan anda juga pasti bahawa ke enam-enam prinsip ini sudah diketahui.  Persoalannya, adakah anda dan saya sudah mengamalkannya?. Biarlah saya mengulas dengan cara saya,  6 pekara tersebut ialah:-

1. PRINSIP 1; Berikan perhatian ikhlas kepada orang lain
Seawal dari bayi, kanak-kanak, dewasa dan tua, manusia secara psikologinya memang ingin perhatian dan kita sebagai orang yang berdamping dengannya perlu memberi perhatian agar mereka terasa dihargai.  Dale Carnegie memberi andaian dan perumpamaan bahawa semua binatang di dunia ini perlu mengeluarkan hasil untuk survival hidup.  Lembu terpaksa mengeluarkan susu dan daging bagi faedah tuannya, ayam dan itik perlu mengeluarkan telor dan daging untuk menafaat tuannya, kuda juga perlu membajak atau mengangkut barang untuk membantu tuannya.  Oleh itu, mereka akan diberi makan secukupnya agar terus kuat dan menghasilkan sesuatu.  Tidak bagi seekor anjing.  Anjing hanya perlu datang kepada tuannya dengan mengkibas-kibas ekornya, menari-nari serta menjilat-jilat tuannya bagi mendapatkan perhatian.  Anjing hanya memberi kasih sayangnya kepada tuannya agar tuannya yang penat seharian berkerja dapat merihatkan fikiran dan merasa tenang dan damai melihat keletah anjing. Anjing dapat "membeli" tuannya dengan PERHATIAN dan kasih sayang.

 Nah, pelanggan juga seperti itu.  Pasti anda masih ingat perumpamaan "Jangan jolok sarang lebah untuk mengambil madunya".  Untuk mengambil hati pelanggan dan agar mereka terus senang berurusan dengan kita, sering-seringlah bertanya kabar dan berbual sesuatu pekara yang pelanggan kita senangi.  Juga apabila hubungan persahabatan kita dengan pelanggan sudah sampai keperingkat kawan atau sahabat, permasalahan mereka juga mungkin dapat kita kongsi.  Kekuatan prinsip PERHATIAN ini sudah pasti akan menjadikan kawan dan sahabat sebagai pelanggan yang setia dan menyokong segala usaha-usaha kita. 
 
2. PRINSIP 2; Senyumlah

Kita jarang tersenyum (walaupun hanya tersenyum) dengan orang yang tidak kita kenali, kenapa?.  Adakah dengan tersenyum itu akan menjadikan kita seperti orang gila? apatah lagi orang yang kita senyum itu tidak kita kenali pun.  Tidak salah sebenarnya kita tersenyum (sekadar senyuman biasa - dalam bentuk sekali pandang) walaupun senyuman kita tidak terbalas.  Aura senyuman sebenarnya membawa satu pengertian dan kuasa yang amat HEBAT untuk diketahui.  Dan, kesannya amat menakjupkan.  Ia amat memberi kesan dan memberi hasil di dalam perniagaan saya sebagai Pembekal Latihan (Training Provider).  Kebanyakan pelanggan saya yang kekal sehingga hari ini adalah datang dari kalangan mereka yang saya temui di jalanan (maksud saya bukan melalui temujanji yang di atur secara formal di pejabat).  Senyuman pertama saya membawa kepada elemen "peneguran" dan akhirnya membawa kepada perbualan ayang akhirnya digunakan ruang dan peluang untuk berbincang tentang hobi dan kerjaya.  Siapa tahu mereka juga akan menjadi "rakan Strategik Usaha Kita".  Perhatian jangan terbatas kepada sesuatu kelompok sahaja kerana jika kita beranggapan bahawa setiap orang itu PENTING, pasti kita akan menjadikan mereka semua sebagai rakan strategik kita kerana kita tidak tahu siapa mereka dan pengaruh mereka.  Suatu hari nanti mereka pasti akan menjadi "iklan pecuma" kita yang paling baik... siapa tahu..
  
3. PRINSIP 3; Nama seseorang itu sesuatu yang indah untuk diingat

Salah satu kelemahan saya ialah, saya amat sukar untuk mengingati nama jalan, nombor kereta dan beberapa pekara lagi (nasib baik saya ingat no kad pengenal dan no pin ATM saya... hehehehe).  benar kata-kata Dale carnegie, bahwa dengan menyebut serta mengingati nama seseorang, mereka merasakan bahawa diri mereka dihargai apatah lagi kenalan kita itu sudah lama kita tak temui.  Saya telah bertemu dengan seseorang yang pernah saya jumpa (di pejabat beliau yang kebetulan saya punya urusan perniagaan di sanatetapi saya sukar untuk mengingati di mana saya pernah jumpa.  Kebetulan dia adalah Pengurus di Bahagian Sumber Manusia Dan Latihan di mana ketika itu saya tidak tahu.  Niat saya adalah untuk bertemu dengan pegawai bawahannya.  Lalu saya cuba mengingati di mana saya berjumpa dengan beliau.   Apa yang saya lakukan adalah bertanya dengan kakitangan yang kebetulan lalu lalang di situ (ketika itu pegawai yang ingin ditemui tiada di tempatnya wlaupun temujanji sudah dilakukan) siapakah nama orang yang saya pernah jumpa itu.  Lalu saya bertemu dengan orang tersebut (ketika itu berlegar di ruang menunggu dan mungkin menunggu seseorang) lalu menegur dengan menyebut namanya.  Dia tersenyum lalu bermulalah "transaksi perniagaan secara tidak formal" dengan berbual pekara-pekara yang tidak berkaitan dengan urusan sebenar seperti "En Ali (sebagai contoh) memang saya pernah jumpa sebab tu saya tahu nama En Ali, tapi saya kurang pasti di mana".  Ruang dan peluang yang diberi itu saya gunakan untuk beramah berpanjangan akhirnya dia bertanya nak jumpa siapa dan apa urusannya.  Kebetulan dia yang menjaga Bahagian Sumber Manusia Dan Latihan, akhirnya dia mempelawa saya masuk ke pejabatnya.  Alhamdullilah saya dapat memberi perkhidmatan saya kepada pelanggan saya secara berterusan sehingga kini.  Dan banyak lagi contoh yang sama yang saya lakukan dan kesannya amat memberangsangkan...
 
4. PRINSIP 4; Jadilah seorang pendengar yang baik

Pernahkah anda berbual dengan seseorang tetapi tajuk perbualan anda tidak menarik perhatian mereka? Apa perasaan anda..., Adakah anda pernah mendengar cerita dari pelanggan-pelanggan atau rakan-rakan anda dan cerita mereka pula tidak menarik perhatian anda? Bagaimana perasaan anda pula?  Ini sudah tentu akan menjana aliran energi yang tidak baik dan ia juga akan mempengaruhi tahap aliran perhubungan yang bakal dikelasifikasikan selepas ini.  Stephen Covey sekali lagi mengingatkan kepada saya tentang satu perkataan yang membawa kesan yang cukup besar apabila berhadapan dengan kawan atau pelanggan.  Perkataan "Empathy" dari hasil perilaku kebiasaan "Seek First To Understand Then To Be Understood".  Kita perlu dapat membezakan apa yang pelanggan/kawan PERLU (need) dan apa yang dia HENDAK (want).  Begitu juga apabila kita sedang melakukan satu siri "perintihan" oleh pelanggan dan sahabat, kita harus mendengar dengan tekun dan penuh emosi (bergantung dengan permasalahan dan perintihan yang dihadapi).  beri fokus kepada perbualan tersebut dan jangan "potong" sebelum masanya terutama apabila si pembicara sedang gairah atau seronok untuk bercerita.  Sokonglah dengan gelak ketawa apa bila cerita itu lucu, dan diam serta tunjukkan reaksi sedih jika ia menyedihkan.  Letakkan diri kita di tempat pembicara tersebut agar kita mudah memahami apa yang dia perlu dan apa yang dia hendak.  Penguasaan dan pemahami ilmu "EMPATHY" adalah sesuatu yang hebat dan ia akan menjadi satu seni penaklukan yang baik di dalam asas perhubungan dan ini akan membuat orang yang menjadi rakan bual begitu senang dengan kita.  Apa tah lagi kita menjadi seorang pendengar yang baik....
 
5. PRINSIP 5; Perkatakan tentang sesuatu yang digemari oleh orang lain
Perbualan asas menang-menang (win-win) dan penguasaan perbualan yang meyakinkan serta pendahuluan perbualan yang menarik adalah berdasarkan kajian terdahulu tentang tajuk perbualan yang disenang oleh prospek (bakal pelanggan kita).  Jika pendekatan kita terus kepada pengenalan produk (walaupun sebaik mana pun produk tersebut), maka tanda-tanda (signals atau indicators) penolakkan awal akan berlaku.  Ianya juga bergantung kepada jenis prospek yang bakal kita temui.  Ada yang memandang sinis terhadap produk yang kita perkenalkan, ada yang menyokong dan ada juga yang tak pernah kisah pun tentang perniagaan yang kita jalankan.  Jenis-jenis perhubungan juga seperti kitaran produk di pasaran yang memerlukan pusingan Pengenalan (introduction), Pembangunan (Growth), Matang (Maturity) dan Menurun (Decline).  Jadi, jalinkan perhubungan dengan fasa-fasa tertentu dengan sentiasa berbual pekara-pekara yang disenangi oleh prospek.  Apa salahnya membina hubungan yang panjang dengan berkongsi minat dengan prospek asalkan hasil jangka masa panjang terus berlarutan.  Jika ini terjadi, adakah anda rasa sahabat yang menjadi prospek pelanggan yang berkongsi minat tidak menyokong usaha-usaha kita...
 
6. PRINSIP 6; Buatlah seseorang itu terasa penting

Kajian salah seorang ahli Psikologi mendapati bahawa antara keinginan yang diperlukan oleh manusia yang menduduki carta tertinggi ialah keinginan sex dan juga keinginan kebanggaan diri (dihargai atau diiktiraf penting).  Sebab itu sekarang ini manusia berlumba-lumba untuk mendapatkan status di dalam masyarakat agar mereka dapat dilihat penting.  Ini adalah proses semulajadi dan pengistilahan ini kita namakan "re-branding" (penjenamaan semula) atau "branding" (penjenamaan).  Teruskan memuji dengan ikhlas dan bukan mengampu tentang usaha-usaha yang dilakukan oleh pelanggan dan terus beri sokongan dengan ikhlas agar kehadiran kita di mata pelanggan dirasai.  Kita juga memerlukan penguasaan "branding" agar kehadiran kita sentiasa berada di mata pelanggan, kawan atau prospek.   Teruskan juga berinteraksi dengan prospek serta bertanya kabar agar mereka juga dapat merasai agar diri mereka dirasakan penting dan dihargai.

~SELAMAT BERAMAL~  

Nota: Jika terdapat sebarang kesilapan ejaan yang tidak disengajakan harap dimaafkan.  Almaklumlah tangan ini tidak pernah dilatih secara formal menaip dan hanya menggunakan satu jari kiri dan satu jari kanan... :)    


Home I About Author I Business Motivation Talks I Articals I Photos & Activities I Other Links I Contact


Sunday 9 September 2012

PRINSIP-PRINSIP MELEBARKAN KAWAN/NETWORK

Prinsip-prinsip yang diajar oleh YAYASAN DALE CARNEGIE melalui buku yang dikupas berjodol "How To Make Friends And How To Influence People"

3 PRINSIP BILA BERHADAPAN DENGAN ORANG LAIN

PRINSIP 1 ; Jangan Mengkritik, Menghukum Atau Merungut
Mengkritik, menghukum atau merungut  merupakan satu tindak tanduk yang membawa kesan psikologi (psychology) yang amat mendalam sama ada kepada yang mengkritik atau yang dikritik.  Kesan paling ketara yang kepada yang mengkritik ialah kesan karektor "dominan" (penguasaan atau dia sahaja betul) sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati kepada orang yang dikritik.  Akhirnya berlakulah krisis "tekanan" kepada ke dua-dua belah pihak yang mana ia akan menimbulkan suasana ketidak tenteraman di dalam hubungan.  Bukan mudah untuk mendapat pasangan atau kumpulan rakan perbualan yang mempunyai minda terbuka bagi mengaplikasikan kritikan yang konstruktif (membina) dan bukan distruktif (memusnah).  Ini lah hakikat manusia walaupun diluar dia kata menerima dengan terbuka namun di dalam hati mereka pasti timbul perasaan ketidakpuasan hati.  Masing-masing pasti mempunyai satu persepsi yang dipanggil "hipokrit diri" dengan mengatakan diri mereka betul.  Bagi memastikan agar perhubungan kita dapat diimmarahkan (disegerkan/dimeriahkan) konsep "Jangan Menjolok Sarang Lebah Jika Anda Ingin Mengambil Madunya" perlu di laksanakan.  Jika kita ingin mengambil hati seseorang (kawan, suami, isteri, anak-anak, rakan-rakan, pelanggan dan lain-lain) dan ingin menjadi rakan yang sentiasa menyenangi kita, satu suasana pengkritikan yang berhemah dengan penggunaan "reverse psychology"  perlu diamalkan iaitu dengan mengambil contoh-contoh perlaksanaan orang-orang yang berjaya sebagai contoh kritikan dan bukan memberi pendapat peribadi (walau pun pendapat itu ada kebenarannya dan serupa seperti yang dilakukan oleh orang yang berjaya).  Terkadang terdapat satu persepsi dengan mengatakan "engkau pun sama, nak mengajar aku pula".

Satu contoh, seorang juruterbang pemandu pesawat penguji sering muncul dalam pertunjukkan dan amat terkenal kerana aksi-aksi extreme nya.  Suatu hari dalam pertunjukan penerbangan 100 meter, kedua-dua enjin pesawatnya rosak dan mendaratkannya dalam bentuk kecemasan.  Walaupun tiada yang cedera pesawat yang mahal harganya itu  mengalami kerosakan yang terukTindakan pertama setelah mendarat Juruterbang tersebut memeriksa pesawat tersebut dan didapati diisi dengan bahan bakar gasolin dan bukan bahan bakar jet pesawat.  Lalu juruterbang tersebut pergi kebahagian penyelenggaraan dan bertanya kepada jurutera pesawat yang menyelenggara.  Jurutera muda itu amat sedih  di atas kesilapannya yang boleh meragut nyawa lalu keikhlasan kesilapannya itu diterjemahkannya melalui linangan air mata.  Juruterbang sedikit pun tidak memarahi Jurutera muda itu lalu Juruterbang memeluk Jurutera tersebut lalu berkata " Semoga kamu tidak mengulangi kesilapan itu lagi dan tolong periksa pesawat saya esok".  Bayangkan kalau ini terjadi pada Juruterbang lain, pasti Jurutera tersebut akan dimarahi dan tidak dibenarkan melakukan penyelenggaraan terhadap pesawatnya lagi.  Tambahan lagi, ianya dikhuatir akan menyebabkan nyawa Juruterbang tersebut  melayang dan kerugian pasti akan berlaku terhadap pesawat yang berharga berjuta-juta ringgit nilainya itu. Cuba anda fikir kesan psaikologi terhadap Jurutera tersebut atas tindakan Juruterbang dengan memeluk dan menyatakan harapannya itu. Pasti anda boleh memikirkannya....
 
PRINSIP 2 ; Berikan Penghargaan Yang Ikhlas Dan Murni
John Dewey merupakan pakar Psaikologi.  Dr. Dewey mengatakan bahawa dorongan yang paling mendalam pada diri manusia ialah "Keinginan untuk menjadi penting".  Apa yang dilakukan oleh manusia serta tindakan yang ingin dibuat adalah untuk mendapatkan perhatian dari manusia lain.  Anak-anak sering merunggut dan mengadu terhadap apa sahaja yang dia lakukan.  Malah anak-anak semuda 2 atau 3 tahu sering memanggil kita dan menunjukkan kepada kita terhadapa apa sahaja yang dia lakukan.  Tujuannya adalah untuk mendapatkan pujian dan perhatian.  Begitu juga dengan anak-anak yang sedang meningkat dewasa, mereka aakan berlajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kebanggaan diri lalu ingin menunjukkan kepada orang lain serta keluarga bahawa diri mereka penting.  Sebagai bapa juga kita inginkan anak-anak kita cemerlang kerana kita juga mencari harga diri dan kebanggan diri.  Pada masa kini, masing-masing berlumba-lumba untuk berjaya kerana kejayaan dan  kekayaan merupakan satu impian untuk mempertingkatkan rasa kebanggan diri.  Sehingga ramai yang mengejar gelaran Dato, Dato Seri, Tan Seri dan sebagainya adalah bertujuan untuk meningkatkan imej diri dan kebanggaan diri.  Secara Psaikologinya semua manusia ingin dilihat penting dalam hidup dan masyarakat.  Apa yang cuba dikongsi di dalam perhubungan kita agar terus disenangi oleh orang lain ialah tentang pengetahuan kita yang tahu tentang keperluan psaikologi manusia itu sendiri iaitu "keinginan untuk dihargai, dipuji dan diketahui bahawa mereka itu penting".  Adalah tidak menjadi kesalahan dengan mengatakan bahawa "Kau cukup HEBAT kerana dapat mengubah hidup kau dari belum berjaya kepada sudah berjaya, tolong tunjuk ajar aku" atau "Aku cukup kagum dengan semangat kau" (Penggunaan ganti nama seperti aku, saya, Dato, Dato Seri dan sebagainya bergantung kepada jenis akraban yang sudah terjalin dan gunakan ganti nama yang sesuai berdasarkan tahap perhubungan masing-masing)

PRINSIP 3 ; Bangkitkan Keinginan Yang Membara Di Dalam Diri Orang Lain.
Sebagai seorang rakan, pelanggan atau sesiapa sahaja takrifan kita dengan oarang yang kita temui, cuba gunakan prinsip rangsangan dengan mengetahui permasalahan orang yang kita temui itu.  Jika orang tersebut seorang usahawan terus beri sokongan terhadap kerjaya mereka dengan menyatakan kehebatan kerjaya seorang usahawan.  Jika rakan kita seorang pelajar, teruskan dengan memberi tip-tip yang berguna jika kita lebih terpelajar dengan mereka, begitulah seterusnya.  Dengan memberi dorongan, galakan dan kekuatan dalaman sahajalah mereka terasa impian mereka dikongsi oleh orang lain.  Guankan bahasa dan tajuk perbualan yang selari.  Jika kita bertemu seorang usahawan, pasti tajuk-tajuk perbualan tentang suasana perniagaan masa kini lebih bermakna.  Jika kita bertemu dengan sahabat kita dari kalangan doktor, pasti kes-kes yang melibatkan kesihatan akan menjadi tajuk yang amat menarik.  Begitu juga seandainya kita bertemu dengan seorang peminat sukan, cerita tentang perlawanan lega bola sepak Inggris, eropah dan sebagainya sudah pasti menawan mereka.  Nah, kita pasti mereka semua menyenang kita disebabkan kepekaan kita kepada keperluan semasa mereka.


Nota: Jika terdapat sebarang kesilapan ejaan yang tidak disengajakan harap dimaafkan.  Almaklumlah tangan ini tidak pernah dilatih secara formal menaip dan hanya menggunakan satu jari kiri dan satu jari kanan... :)    


Home I About Author I Business Motivation Talks I Articals I Photos & Activities I Other Links I Contact