Monday 10 September 2012

6 PRINSIP YANG MEMBUATKAN SESEORANG SUKA PADA ANDA

Lakukan ini pasti anda akan disukai di mana-mana sahaja:-

Satu kelebihan orang yang suka membaca ialah mereka akan mendapat ilmu yang cukup banyak dari rahsia kejayaan yang dikongsi oleh penulis buku dan KELEBIHAN orang yang menyampaikan ilmu dan berkongsi dengan apa yang mereka baca pula adalah kerja-kerja amal jariah serta jihad ilmu bagi memastikan orang lain cemerlang dan HEBAT jika ilmu yang dikongsi itu diamalkan sebaik-baiknya.  Perilaku kebiasaan ini (Habit) dipanggil "Sharpen The Saw" oleh pakar motivasi terkenal dunia iaitu Stephen R.Covey di dalam bukunya yang berjodol "The 7 Habits Of Highly Effective People".

Dale Carnegie salah seorang motivator yang terpengaruh dunia mengariskan 6 PRINSIP bagaimana kita boleh melebarkan rangkaian sahabat atau pelanggan (bergantung kepada siapa kita ingin aplikasikan ilmu ini) agar berasa senang kepada kita.  Saya pasti dan anda juga pasti bahawa ke enam-enam prinsip ini sudah diketahui.  Persoalannya, adakah anda dan saya sudah mengamalkannya?. Biarlah saya mengulas dengan cara saya,  6 pekara tersebut ialah:-

1. PRINSIP 1; Berikan perhatian ikhlas kepada orang lain
Seawal dari bayi, kanak-kanak, dewasa dan tua, manusia secara psikologinya memang ingin perhatian dan kita sebagai orang yang berdamping dengannya perlu memberi perhatian agar mereka terasa dihargai.  Dale Carnegie memberi andaian dan perumpamaan bahawa semua binatang di dunia ini perlu mengeluarkan hasil untuk survival hidup.  Lembu terpaksa mengeluarkan susu dan daging bagi faedah tuannya, ayam dan itik perlu mengeluarkan telor dan daging untuk menafaat tuannya, kuda juga perlu membajak atau mengangkut barang untuk membantu tuannya.  Oleh itu, mereka akan diberi makan secukupnya agar terus kuat dan menghasilkan sesuatu.  Tidak bagi seekor anjing.  Anjing hanya perlu datang kepada tuannya dengan mengkibas-kibas ekornya, menari-nari serta menjilat-jilat tuannya bagi mendapatkan perhatian.  Anjing hanya memberi kasih sayangnya kepada tuannya agar tuannya yang penat seharian berkerja dapat merihatkan fikiran dan merasa tenang dan damai melihat keletah anjing. Anjing dapat "membeli" tuannya dengan PERHATIAN dan kasih sayang.

 Nah, pelanggan juga seperti itu.  Pasti anda masih ingat perumpamaan "Jangan jolok sarang lebah untuk mengambil madunya".  Untuk mengambil hati pelanggan dan agar mereka terus senang berurusan dengan kita, sering-seringlah bertanya kabar dan berbual sesuatu pekara yang pelanggan kita senangi.  Juga apabila hubungan persahabatan kita dengan pelanggan sudah sampai keperingkat kawan atau sahabat, permasalahan mereka juga mungkin dapat kita kongsi.  Kekuatan prinsip PERHATIAN ini sudah pasti akan menjadikan kawan dan sahabat sebagai pelanggan yang setia dan menyokong segala usaha-usaha kita. 
 
2. PRINSIP 2; Senyumlah

Kita jarang tersenyum (walaupun hanya tersenyum) dengan orang yang tidak kita kenali, kenapa?.  Adakah dengan tersenyum itu akan menjadikan kita seperti orang gila? apatah lagi orang yang kita senyum itu tidak kita kenali pun.  Tidak salah sebenarnya kita tersenyum (sekadar senyuman biasa - dalam bentuk sekali pandang) walaupun senyuman kita tidak terbalas.  Aura senyuman sebenarnya membawa satu pengertian dan kuasa yang amat HEBAT untuk diketahui.  Dan, kesannya amat menakjupkan.  Ia amat memberi kesan dan memberi hasil di dalam perniagaan saya sebagai Pembekal Latihan (Training Provider).  Kebanyakan pelanggan saya yang kekal sehingga hari ini adalah datang dari kalangan mereka yang saya temui di jalanan (maksud saya bukan melalui temujanji yang di atur secara formal di pejabat).  Senyuman pertama saya membawa kepada elemen "peneguran" dan akhirnya membawa kepada perbualan ayang akhirnya digunakan ruang dan peluang untuk berbincang tentang hobi dan kerjaya.  Siapa tahu mereka juga akan menjadi "rakan Strategik Usaha Kita".  Perhatian jangan terbatas kepada sesuatu kelompok sahaja kerana jika kita beranggapan bahawa setiap orang itu PENTING, pasti kita akan menjadikan mereka semua sebagai rakan strategik kita kerana kita tidak tahu siapa mereka dan pengaruh mereka.  Suatu hari nanti mereka pasti akan menjadi "iklan pecuma" kita yang paling baik... siapa tahu..
  
3. PRINSIP 3; Nama seseorang itu sesuatu yang indah untuk diingat

Salah satu kelemahan saya ialah, saya amat sukar untuk mengingati nama jalan, nombor kereta dan beberapa pekara lagi (nasib baik saya ingat no kad pengenal dan no pin ATM saya... hehehehe).  benar kata-kata Dale carnegie, bahwa dengan menyebut serta mengingati nama seseorang, mereka merasakan bahawa diri mereka dihargai apatah lagi kenalan kita itu sudah lama kita tak temui.  Saya telah bertemu dengan seseorang yang pernah saya jumpa (di pejabat beliau yang kebetulan saya punya urusan perniagaan di sanatetapi saya sukar untuk mengingati di mana saya pernah jumpa.  Kebetulan dia adalah Pengurus di Bahagian Sumber Manusia Dan Latihan di mana ketika itu saya tidak tahu.  Niat saya adalah untuk bertemu dengan pegawai bawahannya.  Lalu saya cuba mengingati di mana saya berjumpa dengan beliau.   Apa yang saya lakukan adalah bertanya dengan kakitangan yang kebetulan lalu lalang di situ (ketika itu pegawai yang ingin ditemui tiada di tempatnya wlaupun temujanji sudah dilakukan) siapakah nama orang yang saya pernah jumpa itu.  Lalu saya bertemu dengan orang tersebut (ketika itu berlegar di ruang menunggu dan mungkin menunggu seseorang) lalu menegur dengan menyebut namanya.  Dia tersenyum lalu bermulalah "transaksi perniagaan secara tidak formal" dengan berbual pekara-pekara yang tidak berkaitan dengan urusan sebenar seperti "En Ali (sebagai contoh) memang saya pernah jumpa sebab tu saya tahu nama En Ali, tapi saya kurang pasti di mana".  Ruang dan peluang yang diberi itu saya gunakan untuk beramah berpanjangan akhirnya dia bertanya nak jumpa siapa dan apa urusannya.  Kebetulan dia yang menjaga Bahagian Sumber Manusia Dan Latihan, akhirnya dia mempelawa saya masuk ke pejabatnya.  Alhamdullilah saya dapat memberi perkhidmatan saya kepada pelanggan saya secara berterusan sehingga kini.  Dan banyak lagi contoh yang sama yang saya lakukan dan kesannya amat memberangsangkan...
 
4. PRINSIP 4; Jadilah seorang pendengar yang baik

Pernahkah anda berbual dengan seseorang tetapi tajuk perbualan anda tidak menarik perhatian mereka? Apa perasaan anda..., Adakah anda pernah mendengar cerita dari pelanggan-pelanggan atau rakan-rakan anda dan cerita mereka pula tidak menarik perhatian anda? Bagaimana perasaan anda pula?  Ini sudah tentu akan menjana aliran energi yang tidak baik dan ia juga akan mempengaruhi tahap aliran perhubungan yang bakal dikelasifikasikan selepas ini.  Stephen Covey sekali lagi mengingatkan kepada saya tentang satu perkataan yang membawa kesan yang cukup besar apabila berhadapan dengan kawan atau pelanggan.  Perkataan "Empathy" dari hasil perilaku kebiasaan "Seek First To Understand Then To Be Understood".  Kita perlu dapat membezakan apa yang pelanggan/kawan PERLU (need) dan apa yang dia HENDAK (want).  Begitu juga apabila kita sedang melakukan satu siri "perintihan" oleh pelanggan dan sahabat, kita harus mendengar dengan tekun dan penuh emosi (bergantung dengan permasalahan dan perintihan yang dihadapi).  beri fokus kepada perbualan tersebut dan jangan "potong" sebelum masanya terutama apabila si pembicara sedang gairah atau seronok untuk bercerita.  Sokonglah dengan gelak ketawa apa bila cerita itu lucu, dan diam serta tunjukkan reaksi sedih jika ia menyedihkan.  Letakkan diri kita di tempat pembicara tersebut agar kita mudah memahami apa yang dia perlu dan apa yang dia hendak.  Penguasaan dan pemahami ilmu "EMPATHY" adalah sesuatu yang hebat dan ia akan menjadi satu seni penaklukan yang baik di dalam asas perhubungan dan ini akan membuat orang yang menjadi rakan bual begitu senang dengan kita.  Apa tah lagi kita menjadi seorang pendengar yang baik....
 
5. PRINSIP 5; Perkatakan tentang sesuatu yang digemari oleh orang lain
Perbualan asas menang-menang (win-win) dan penguasaan perbualan yang meyakinkan serta pendahuluan perbualan yang menarik adalah berdasarkan kajian terdahulu tentang tajuk perbualan yang disenang oleh prospek (bakal pelanggan kita).  Jika pendekatan kita terus kepada pengenalan produk (walaupun sebaik mana pun produk tersebut), maka tanda-tanda (signals atau indicators) penolakkan awal akan berlaku.  Ianya juga bergantung kepada jenis prospek yang bakal kita temui.  Ada yang memandang sinis terhadap produk yang kita perkenalkan, ada yang menyokong dan ada juga yang tak pernah kisah pun tentang perniagaan yang kita jalankan.  Jenis-jenis perhubungan juga seperti kitaran produk di pasaran yang memerlukan pusingan Pengenalan (introduction), Pembangunan (Growth), Matang (Maturity) dan Menurun (Decline).  Jadi, jalinkan perhubungan dengan fasa-fasa tertentu dengan sentiasa berbual pekara-pekara yang disenangi oleh prospek.  Apa salahnya membina hubungan yang panjang dengan berkongsi minat dengan prospek asalkan hasil jangka masa panjang terus berlarutan.  Jika ini terjadi, adakah anda rasa sahabat yang menjadi prospek pelanggan yang berkongsi minat tidak menyokong usaha-usaha kita...
 
6. PRINSIP 6; Buatlah seseorang itu terasa penting

Kajian salah seorang ahli Psikologi mendapati bahawa antara keinginan yang diperlukan oleh manusia yang menduduki carta tertinggi ialah keinginan sex dan juga keinginan kebanggaan diri (dihargai atau diiktiraf penting).  Sebab itu sekarang ini manusia berlumba-lumba untuk mendapatkan status di dalam masyarakat agar mereka dapat dilihat penting.  Ini adalah proses semulajadi dan pengistilahan ini kita namakan "re-branding" (penjenamaan semula) atau "branding" (penjenamaan).  Teruskan memuji dengan ikhlas dan bukan mengampu tentang usaha-usaha yang dilakukan oleh pelanggan dan terus beri sokongan dengan ikhlas agar kehadiran kita di mata pelanggan dirasai.  Kita juga memerlukan penguasaan "branding" agar kehadiran kita sentiasa berada di mata pelanggan, kawan atau prospek.   Teruskan juga berinteraksi dengan prospek serta bertanya kabar agar mereka juga dapat merasai agar diri mereka dirasakan penting dan dihargai.

~SELAMAT BERAMAL~  

Nota: Jika terdapat sebarang kesilapan ejaan yang tidak disengajakan harap dimaafkan.  Almaklumlah tangan ini tidak pernah dilatih secara formal menaip dan hanya menggunakan satu jari kiri dan satu jari kanan... :)    


Home I About Author I Business Motivation Talks I Articals I Photos & Activities I Other Links I Contact


No comments:

Post a Comment